Formulasi terbaik bagaikan rawatan pencerahan
Dewi Remaja X Challenge Sunway Lagoon & Perkongsian Bersama Nazrief Nazri.
Dewi Remaja X Challenge Sunway Lagoon & Perkongsian Bersama Nazrief Nazri.
Oleh:Nurbaya Rahim - REMAJA

Seawal jam 7.30 pagi lagi sebahagian besar finalis Dewi Remaja telah memenuhi perkarangan pintu masuk utama Sunway Lagoon dek kerana tidak sabar untuk mengikuti aktiviti X-CHALLENGE anjuran Sunway Lagoon. Aktiviti ini telah diadakan untuk menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta.

 

Mereka memulakan cabaran dengan sedikit senaman regangan badan yang telah dikendalikan oleh Zaween  Ketua kelab Snap Fitness Sri Petaling sebelum diberi penjelasan mengenai perjalanan X-CHALLENGE oleh wakil dari Sunway Lagoon.

 

Mereka yang bergerak dalam 5 kumpulan kecil, mereka perlu menyudahkan tugasan di 5 check point berbeza. Antaranya mereka perlu mengharungi cabaran di Scream Park, Vuvuzela, Waterplexx 5D, Extreme Park dan Wildlife Park. Pelbagai peristiwa berlaku sepanjang cabaran ini berlangsung. Ada yang hampir pengsan, hampir lemas dan ada juga yang menangis menahan kesakitan yang datang secara tiba-tiba.

 

Cabaran yang paling melucukan apabila melihat gelagat dewi yang ketakutan dan menahan geli kerana terpaksa memasukkan tangan di dalam bekas yang mengandungi ulat roti, belalang dan kumbang untuk mendapatkan ‘kata kunci’ yang ada di bawah himpunan serangga-serangga tersebut. REMAJA sempat rakamkan momen-momen ini dan muat naik terus ke instagram.

 

Setelah melalui pelbagai cabaran, akhirnya kumpulan Diva yang dianggotai oleh Balqish Maarif, Tya Shahid , Fify Azmi dan Kate Davies telah dinobatkan sebagai pemenang cabaran X-CHALLENGE. Sebaik sahaja pemenang di umumkan, kesemua finalis perlu turun ke dalam air untuk sesi fotografi bersama Izhar Atan (Ketua Fotografi Kumpulan Media Karangkraf).

 

Keadan menjadi agak tegang apabila salah seorang finalis iaitu Deja Eshrina hampir lemas kerana kekejangan otot kaki sewaktu sedang beraksi di dalam air. Syukur rakan-rakan yang lain ada berada di sekeliling lalu menarik Deja hingga ke tepi kolam. Salah seorang krew yang bertugas bergegas mengangkatnya dan terus membawa Deja ke tempat petugas kesihatan Sunway Lagoon berada. Setelah beberapa minit, Deja telah kembali pulih seperti biasa.

 

Cabaran ini disudahi dengan perkongsian dari bekas finalis Hero Remaja iaitu Nazrief Nazri. Walaupun sibuk dengan tawaran lakonan, dia tetap meluangkan masa untuk berkongsi ilmunya dalam dunia hiburan dengan finalis Dewi Remaja 2014/15.  Nazrief menyatakan para finalis harus mengekalkan silaturahim sesama mereka walaupun setelah pencarian dewi remaja tamat.

 

Para finalis juga mengambil peluang ini untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai kegusaran mereka yang melibatkan industri seni. Di samping itu, mereka juga ligat merakamkan gambar selfie dan wefie bersama pelakon tampan ini.